Perkembangan Peradaban Dan Faktor-Faktor Jatuh Bangun Sesebuah Peradaban
Teori Alunan ( Rhythmic Theory )
Teori ini dikemukakan oleh Akbar S. Ahmed, seorang bekas menteri di Pakistan dan bekas Profesor di beberapa universiti ternama seperti Universiti Cambridge, Universiti London dan beliau juga merupakan bekas Profesor Tamu di Universiti Princeton serta Harvard. Menurut beliau, sejarah peradaban manusia boleh dilihat sebagai satu alunan yang menaik dan menurun, bukannya berkembang melalui peringkat permulaan, kemuncak dan kemerosotan. Alunan secara kontinum dan pola seperti ini akan berterusan dari masa ke semasa atau dari satu generasi ke generasi yang lain.
Akbar S. Ahmed melihat konsep peradaban itu lebih luas, bukan sekadar sebuah kerajaan dan empayar, tetapi peradaban ( Islam yang dikajinya ) boleh berkembang di mana-mana sahaja dari masa ke semasa. Meskipun sesebuah kerajaan mengalami kegemilangan dan kemerosotan, malah ada yang merosot serta tidak muncul lagi, tetapi akan ada peradaban baru yang akan bangkit. Menurutnya, Delhi diambilalih oleh orang Muslim pada tahun 1192 oleh Muhammad Ghori, Baghdad tidak lama kemudian direbut oleh orang Mongol. Orang Islam menguasai Konstantinopole pada tahun 1453 dan menamakan kota itu sebagai Istanbul yang bermaksud kota Islam, tetapi pada tahun 1492, Islam kehilangan Granada yang kemudian menjadi kota Kristian. Pendek kata, Islam mengalami kemunduran di suatu tempat, tetapi hidup kembali di tempat lain; Islam lesu di tempat tertentu, tetapi berkembang pesat di tempat lain.
Teori yang diutarakan oleh Akbar S. Ahmed ini diterima dan diperkembangkan lagi oleh Profesor Hashim Musa dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Asas-asas teori Akbar S. Ahmed diperkukuhkan oleh Hashim Musa yang memfokuskan kajiannya terhadap peradaban Melayu Islam. Kedua-dua sarjana ini mempunyai pendapat yang sama dalam usaha merungkai penafsiran sarjana Barat yang beranggapan bahawa pola pembinaan dan kejatuhan peradaban Islam adalah sama seperti yang berlaku terhadap tamadun lain di dunia. Kedua-duanya mengemukakan pola alunan naik turun peradaban berdasarkan peristiwa-peristiwa penting dan genting yang merentasi tempoh masa tertentu.
Akbar S. Ahmed menelusuri kronologi peradaban Islam sejak tahun 853 Sebelum Masihi ( sejak sebutan Arab ditemukan) sehingga 1986 ( Undang-undang Tentera dimansuhkan di Pakistan dan Pembunuhan Profesor Ismail al-Faruki dan isterinya dibunuh di Amerika Syarikat. Hashim Musa pula menjejaki perkembangan peradaban Islam bermula dari tahun 610 Masihi ( wahyu pertama diturunkan ) sehingga tahun 1999 ( kudeta tentera di Pakistan dan parti pemerintahan Islam berkuasa di Pakistan ). Hashim Musa juga memperturunkan detik-detik utama dalam deretan sejarah kebangkitan dan kecundangan serta naik turunnya peradaban Melayu Islam di Alam Melayu yang bermula pada tahun 840 Masihi ( Penabalan Sultan Perlak 1 ) hingga tahun 1999 ( Abdul Rahman Wahid menjadi Presiden Indonesia ).
Dalam usaha menghuraikan teorinya, Akbar S. Ahmed menggunakan konsep ideal Muslim. Konsep ini membawa maksud bahawa perilaku dan tindak-tanduk masyarakat Islam perlu mencontohi amalan Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat baginda, jika ingin mengembalikan kegemilangan peradaban mereka. Akbar S. Ahmed memperturunkan dua buah hadis bagi mengukuhkan hujahnya iaitu “ Yang terbaik daripada kalangan umatku ialah generasiku kemudian mereka yang mengikutinya dan yang mengikuti sesudah itu”. Begitu juga dengan hadis yang berbunyi “ Para sahabatku itu ibarat bintang kejora. Bilamana engkau meneladani salah seorang di antara mereka, maka engkau memperoleh tuntutan yang benar”. Justeru Akbar S. Ahmed menegaskan
“ The farther from the ideal, the greater the tension in society”
Penegasan ini membawa maksud bahawa amalan kehidupan masyarakat Islam berada di kemuncak pada era Nabi Muhammad s.a.w., kemudian diteruskan oleh para sahabat semasa pemerintahan khalifah al-Rasyidin. Tahap peradaban semakin merosot jika konsep ideal Muslim diabaikan. Hal ini digambarkan oleh Akbar S. Ahmed seperti keadaan yang berlaku di Baghdad pada masa pemerintahan kerajaan Bani Abbasiyyah.
Hashim Musa dalam analisisnya terhadap kemerosotan Tamadun Melayu Islam berpendapat bahawa kemerosotan sesebuah peradaban berlaku apabila tiada lagi keseimbangan dan kesaksamaan antara tuntutan dan kekreatifan fizikal, mental dan spritual. Nilai kebendaan pula mengatasi nilai kerohanian. Menurutnya lagi masyarakat yang menggunakan bahan sumber dan barang simpanan untuk memenuhi kehendak-kehendak kemewahan dan kemegahan turut menyumbang kepada kemerosotan sesebuah peradaban. Begitu juga dengan sifat kealpaan di peringkat negara dan masyarakat yang mengenepikan sifat kerajinan dan kesungguhan, ketabahan dan keusahawanan. Selain itu, ekoran daripada pengaruh kebendaan, kekayaan dan pangkat merosotkan aspek akhlak dan etika, maka timbullah hasad dengki, dendam kesumat, penyelewengan, keangkuhan, perkelahian dan permusuhan sesama sendiri. Semuanya ini akan menyebabkan keretakan dalaman yang akan merosakkan ciri-ciri Islam, iman dan ehsan dalam diri manusia serta masyarakatnya. Gejala-gejala seperti ini telah menyebabkan kejatuhan pusat-pusat tamadun Melayu Islam.
Teori Kitaran ( cyclical theory )
Menurut pengemuka-pengemuka teori ini, sesebuah kerajaan atau peradaban akan bergerak seperti kitaran atau putaran yang melalui beberapa peringkat perkembangannya. Ruang lingkup perkembangan peradaban itu dimulakan dengan peringkat pengasasan, kemajuan dan kegemilangan, dan akhirnya kepada peringkat kemerosotan serta keruntuhan. Kekosongan itu akan diambilalih oleh sebuah kerajaan, dinasti atau peradaban yang lain. Kerajaan atau dinasti baru itu akan mengikut pola yang serupa seperti kerajaan sebelumnya. Dua sarjana yang melihat perkembangan peradaban melalui cara sebegini ialah Ibn Khaldun dan Malik Bennabi.
Nama Ibn Khaldun seperti yang ditulisnya sendiri ialah Abd. Al-Rahman ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad ibn al-Hassan ibn Muhammad. Dalam bukunya Mukaddimah, Ibn Khaldun berusaha mencari peraturan bagaimana sesebuah masyarakat berperadaban mengalami perkembangan dan kemudiannya merosot. Menurutnya lagi terdapat lima tahap perkembangan sesebuah dinasti atau peradaban.
Pada tahap pertama, sesebuah kerajaan atau dinasti dimulakan dengan kejayaan menumpaskan dinasti yang sebelumnya dan rajanya berjaya mengekalkan rasa kekitaan dan mempunyai perhubungan yang rapat antara semua pengikutnya. Tahap yang kedua, berlaku apabila raja mengenepikan rakyatnya dan menghalang mereka daripada mengambil bahagian dalam urusan pemerintahan. Pada tahap ini juga raja berusaha mengumpul dan memperbanyakkan pengikutnya. Kaum kerabatnya diutamakan. Bagaimanapun, di kalangan yang menentang baginda, mereka akan diketepikan.
Tahap yang ketiga, adalah tahap bersenang lenang yang ditandai dengan golongan raja dan bangsawan melalui perlonggokan harta, kuasa, pangkat, pembinaan monumen, dan pemberian hadiah kepada rakyatnya. Tahap keempat ialah tahap kepuasan dan kedamaian. Raja bersyukur dan berpuas hati dengan apa yang diusahakan oleh pemerintah terdahulu dan menteladani apa yang mereka lakukan. Pada pendapat mereka, melanggar adat bererti suatu malapetaka yang akan menimpa ke atas kerajaan mereka.
Tahap kelima ialah tahap pembaziran dan pemborosan, penyalahgunaan kuasa dan pemerintah gemarkan keseronokan dan berfoya-foya. Pada peringkat ini raja dan bangsawan membelanjakan khazanah negara dengan sesuka hati. Mengambil pembantu yang berwatak jahat untuk melakukan tugas-tugas penting dan berusaha merosakkan hubungan orang-orang yang berpengaruh dan disenangi oleh rakyat dan pemimpin yang terdahulu. Justeru timbul kebencian, penentangan dan konflik dalaman yang membawa kepada pemberontakan di kalangan rakyat jelata serta kemusnahan sesebuah kerajaan itu. Dinasti yang baru akan mengambil alih kuasa yang akan membentuk satu kitaran dinasti atau tamadun yang baru.
Asas kepada pembinaan tamadun manusia ialah asabiyah atau semangat kesukuan. Apabila manusia tinggal menetap, mereka pula mengekalkan keperluan asas serta pengeluaran mewah mengatasi keperluan asas. Manakala ekonomi menjadi lemah dan porak poranda. Masyarakat akan jatuh miskin dan rasuah berleluasa. Ekoran perkembangan dalam pelbagai bidang seperti dalam bidang kesenian, kraf, sains dan teknologi, maka lahirlah peradaban. Keadaan ini tidak berterusan. Akan sampai masanya golongan elit pemimpin berpuas hati dan lalai dengan kemewahan. Semangat asabiyah akan luntur, terhakis sedikit demi sedikit sehingga membawa kepada keruntuhan sesebuah peradaban.
Malik Bennabi (1905-1973) seorang sarjana Algeria yang mendapat pendidikan di Perancis, turut terpengaruh dengan teori kitaran yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun. Pada asasnya teori kitaran Malik Bennabi berkembang melalui tiga tahap iaitu tahap pimpinan roh (permulaan kebangkitan), tahap pimpinan akal ( penyebarluasan ), tahap pimpinan naluri ( kehancuran dan kejatuhan ).
Pada tahap pimpinan roh, seseorang memiliki fitrah semulajadi, dan dalam period ini pemikiran dan tindakan masyarakat banyak dipengaruhi unsur-unsur yang dinamakan roh (spritual). Bagi Malik Bennabi, hanya spiritual akan memberi semangat kemanusiaan untuk berkembang dan membentuk peradaban. Apabila spiritual jatuh, dengan sendirinya peradaban akan menurun. Dalam sejarah Islam period ini bermula apabila lahirnya Nabi Muhammad s.a.w. dengan memberi petunjuk dan wahyu sehinggalah berlakunya perang Siffin pada tahun 38 Hijrah.
Ekoran tahap kehidupan manusia menjadi lebih maju, kompleks dan manusia berhadapan dengan masalah-masalah baru menyebabkan masyarakat mula cenderung menggunakan akal dan proses ini berlaku secara perlahan. Pada period ini manusia tidak lagi berminat dengan pemikiran keagamaan menyebabkan sedikit sekali pengaruh agama dalam kehidupan manusia. Unsur-unsur metafizik (ghaib) semakin terhakis sungguhpun berlakunya perkembangan dalam bidang ilmu pengetahuan.
Fenomena ini memberi kesan terhadap psikologi individu dan bentuk moral masyarakat yang berfungsi sebagai pengawal tingkah laku seseorang. Semakin jauh masyarakat daripada ikatan moral dan norma-norma, semakin besar pula kesan terhadap pengamalan moral dalam kehidupan sehari-hari. Keadaan ini dikenalpasti sebagai permulaan timbulnya penyakit-penyakit sosial dalam masyarakat. Di Eropah period ini berlaku dengan lahirnya Descartisme dan perluasan wilayah yang disusuli dengan penemuan benua-benua Amerika oleh Columbus. Dalam peradaban Islam, tempoh in berlaku apabila berakhirnya perang Siffin, dan Muawiyah bin Sufyan dikatakan bertanggungjawab merosakkan keseimbangan antara unsur-unsur material dan roh.
Pada tahap ketiga, akal telah kehilangan fungsi sosial untuk membimbing manusia. Masyarakat terasing daripada pemikiran keagamaan dan cuba menyesuaikan diri dengan hal-hal keagamaan mengikut kehendak mereka. Soal-soal keagamaan disempitkan kepada hal-hal ibadat sahaja. Dalam tahap ini, berlakunya kegiatan rasuah dengan berleluasa kerana kehendak naluri yang tidak terkawal. Dalam era ini, timbul banyak aliran sufi yang menurut Malik Bennabi sebagai usaha pelarian masyarakat, dan keadaan ini berterusan sampai sekarang.
Malik Bennabi menegaskan bahawa terdapat tiga unsur yang membina peradaban iaitu manusia, bumi, dan idea bagi mencapai kemajuan dan mencipta tamadun. Unsur manusia dianggap lebih utama kerana manusia perlu mempunyai usaha (kerja) yang akan membantu membina peradaban sesuatu bangsa. Beliau memberi contoh bagaimana masyarakat awal Islam telah berusaha untuk membina masjid di Madinah yang dijadikan tempat mengatur strategi bagi membangunkan ummah.
Malik Bennabi berpendapat nilai bumi bergantung kepada pemiliknya bukan dari sudut jenis dan kesesuaian tanaman. Tanah sangat tinggi nilainya kalau dimiliki oleh orang-orang berperadaban, sebaliknya tidak berharga jika dimiliki oleh orang yang tidak berperadaban. Di Algeria banyak tanah yang dahulunya subur tetapi kini menjadi tandus dan ditinggalkan sungguhpun beliau mengakui bahawa faktor udara dan iklim (serangan angin pasir) mempengaruhi kehidupan, namun sikap manusia dalam menghadapi ancaman tersebut adalah lebih penting. Manusia perlu berikhtiar dan mencari jalan menyelesaikan masalah tersebut. Sikap yang positif ini tidak ditunjukkan oleh orang Algeria.
Malik Bennabi turut meletakkan keutamaan kepada unsur idea. Kekayaan material atau benda tetapi miskin idea tidak memungkinkan tamadun dibina dengan kukuh. Seperti yang ditegaskan Fawzia Bariun:
“He had noticed that the dilemma of the underdeveloped countries was not their lack of things, but their poverty of ideas.”
Beliau merumuskan bahawa masa adalah penting untuk menebus kemunduran umat Islam. Bangsa Arab terutamanya mempunyai sama banyak jumlah waktu seperti yang dimiliki oleh bangsa yang maju tetapi bangsa Arab tidak memperhitungkan masa dengan baik. Menurutnya lagi, kaedah yang paling sesuai untuk mengajar umat Islam tentang pentingnya masa ialah melalui proses pendidikan. Beliau memberi contoh masyarakat Jerman selepas Perang Dunia Kedua, iaitu pada tahun 1948, pemerintah Jerman mewajibkan seluruh warganegara bekerja secara sukarela dua jam sehari yang dilakukan semata-mata untuk kepentingan masyarakat. Hasilnya dalam masa terdekat perubahan yang besar telah berlaku dalam masyarakat Jerman dalam bidang ekonomi dan sosial.
Teori Linear
Teori ini beranggapan bahawa sesebuah peradaban akan berubah mengikut landasan yang serupa satu deretan yang berbentuk linear. Teori ini menjelaskan bagaimana sesebuah peradaban dilahirkan, berkembang dengan pesat, mencapai puncak kegemilangan , mengalami kemerosotan dan berakhir dengan kemusnahan dan kehancuran. Antara sarjana yang berpegang pada teori ini termasuklah Arnold Toynbee dan Carrol Quigley.
Arnold Toynbee (1889-1949) seorang sarjana sejarah British telah menumpukan kajiannya terhadap arah aliran dan peraturan perkembangan peradaban merujuk kepada 21 peradaban melalui bukunya A Study of History. Beliau yang hidup dalam era Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua, kurang senang dengan perubahan peradaban yang berlaku di sekelilingnya. Beliau melihat kemerosotan yang berlaku dan dikatakan mempunyai persamaan seperti yang diperjelaskan oleh Gibbon dalam karyanya berjudul Decline and Fall of the Roman Empire. Toynbee sedar bahawa ketika berlakunya kemerosotan Empayar Rom, banyak lagi peradaban lain yang mengalami keadaan yang sama. Melalui data-data yang dikumpulkannya daripada hampir dua dozen peradaban, beliau telah merangka teori perkembangan peradaban.
Menurut Toynbee, sesebuah peradaban akan melalui beberapa tahap perkembangannya iaitu permulaan ( genesis ), pertumbuhan ( growth ), perpecahan ( break down ), kejatuhan ( distintegration ) dan kelenyapan ( dissolution ).
Permulaan peradaban berlaku ekoran tindak balas manusia terhadap cabaran alam semulajadi atau persekitaran sosial. Untuk menghadapi cabaran ini, maka muncullah golongan minoriti kreatif bagi memimpin dan membangunkan masyarakat. Toynbee menggelarkan golongan ini sebagai mimesis. Golongan majoriti rakyat merasa selesa dengan pencapaian (memenuhi keperluan golongan majoriti) yang dilakukan oleh pemimpin minoriti yang kreatif.
Keadaan ini akan berakhir setelah cabaran itu sudah menjadi kebiasaan kepada mereka. Situasi ini pernah dihadapi oleh masyarakat Neolitik yang berpuashati dengan tempat tinggal, peralatan yang digunakan dan kegiatan bercucuk tanam yang mereka usahakan. Akibatnya, peradaban itu akan diambil alih oleh golongan minoriti dominan yang memerintah secara kuku besi. Peradaban mula retak setelah golongan majoriti melihat golongan minoriti dominan mempunyai keistimewaan dalam struktur sosial masyarakat. Masyarakat umumnya tidak lagi menganggap golongan minoriti dominan sebagai role model mereka.
Golongan majoriti bukan elit ini merasakan mereka bukan lagi berada dalam peradaban tersebut serta disingkirkan (alienated) dan Toynbee mengkelaskan golongan ini kepada dua kumpulan iaitu proletariat dalaman dan proletariat luaran. Masyarakat berada dalam keadaan kebingungan, bagaimanapun pemerintahan masih dapat dilaksanakan oleh golongan minoriti dominan. Kelompok elit ini tidak lagi kreatif, tetapi sekadar berjaya mempertahan kedudukannya sebagai kelompok yang dominan sahaja. Keadaan ini membawa kepada pemerintahan yang kucar-kacir dan kawalan yang longgar ke atas rakyat oleh golongan pemerintah.
Tekanan hebat yang dikenakan ke atas golongan proletariat luaran, mengakibatkan mereka bangkit dan membentuk satu pasukan tentera yang digelar Toynbee sebagai ‘barbarian war-bands’. Golongan ini kemudiannya mengambil alih tampuk pemerintahan. Walaupun mereka belajar dan menguasai teknologi ketenteraan, golongan barbarian ini mengabaikan nilai-nilai kesopanan dan kemanusiaan yang baik.
Tahap seterusnya memperlihatkan golongan ploretariat dalaman mencari jalan keluar dengan menganuti agama baru ( higher religious ) dan lain-lain ideologi. Masyarakat melihat agama dipergunakan oleh golongan elit pemerintah untuk mengekalkan status quo mereka. Akhirnya, bagi Toynbee peradaban tadi runtuh dan diambil alih oleh pemerintahan yang bercorak ‘Universal Church’ Maka bermulalah peradaban baru.
Arnold Toynbee berpendapat bahawa kesengsaraan hidup merupakan faktor utama yang melahirkan tamadun yang tinggi. Penderitaan hidup telah merangsang manusia untuk mencari jalan bagi membebaskan diri daripada belenggu kesengsaraan. Keadaan tersebut memberi kekuatan dari segi mental dan fizikal untuk mencipta kejayaan baru.
Toynbee percaya bahawa peranan agama mampu menjadikan ubat yang paling mujarab untuk menangani krisis peradaban yang menuju kehancuran. Beliau seterusnya merumuskan bahawa agama lahir daripada tamadun yang lemah atau sedang runtuh. Berdasarkan krisis moral yang berlaku di kalangan masyarakat Barat yang membelakangkan agama Kristian, beliau meramalkan Barat akhirnya akan dipengaruhi oleh satu agama yang berkembang dari Timur.
Jangka waktu antara ketiga-tiga fasa (break down, distintegration dan dissolution) mungkin mengambil masa yang lama, seribu tahun atau lebih. Toynbee menegaskan bahawa kejatuhan sesebuah peradaban disebabkan oleh faktor dalaman dan bukan faktor luaran. Jadi, Toynbee sependapat dengan Ibn Khaldun yang menyatakan bahawa pihak pemerintah yang leka dengan kemewahan dan berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai memudaratkan sesebuah peradaban.
Carrol Quigley dalam bukunya The Evolution of Civilizations, berpendapat proses perkembangan sesebuah tamadun akan melalui tujuh tahap iaitu bermula dengan tahap campuran (mixture), kandungan (gestation), pengembangan (expansion), era konflik (age of conflic), empayar sejagat (universal of empire), keretakan (decay) dan penaklukan (invasion).
Bagi menggunapakai teorinya, beliau telah merujuk kepada lebih 10 tamadun iaitu tamadun Mesir, Mesopotamia, Tamadun Klasik, Rusia, China, India, Islam, Inca, Aztec dan Minoan. Setiap tamadun ini diberi tempoh masa mengikut tahap tertentu.
Setiap peradaban bermula dengan campuran dua atau lebih budaya. Kebanyakan campuran budaya ini muncul di kawasan sempadan antara dua atau lebih budaya. Apabila keadaan ini berlaku, akan wujudlah persefahaman dalam hal-hal yang berkaitan dengan adat dan juga keperluan-keperluan asas. Kedua-dua pihak perlu membuat keputusan bersama bagi memenuhi kehendak mereka, dengan itu wujudlah peradaban baru yang berdasarkan persetujuan bersama.
Pada tahap kedua terdapat sedikit perubahan dalam masyarakat dan kebanyakan anggota masyarakat dilihat mempunyai kedudukan yang stabil dalam struktur masyarakatnya. Quigley menamakan tahap ini sebagai tahap kandungan. Tahap yang ketiga muncul apabila wujudnya ciri-ciri berikut iaitu perubahan dalam pengeluaran makanan, pertambahan jumlah penduduk, berlakunya proses penjelajahan dan penjajahan serta perubahan dalam ilmu pengetahuan.
Bagi Quigley tahap keempat iaitu era konflik merupakan tahap lebih kompleks, cukup menarik dan lebih kritikal jika dibandingkan dengan ketujuh-tujuh tahap peradaban. Antara ciri-ciri utama tahap ini ialah kemerosotan dalam pengembangan, munculnya ketegangan dan berlakunya konflik kelas khususnya di kawasan-kawasan penempatan utama. Selain itu era ini juga digambarkan dengan bertambahnya keganasan akibat berlakunya peperangan dengan penjajah dan timbulnya ketidakwarasan, sikap mudah putus asa, pengamalan kepercayaan tahyul dan penentangan terhadap aspek keduniaan semata-mata. Ekoran daripada penglibatan dalam perang imperialis, menyebabkan kadar pengembangan menjadi perlahan.
Keadaan seterusnya akan menyebabkan wujudnya dominasi politik oleh satu pihak yang melahirkan fasa kelima iaitu tahap empayar sejagat. Tahap ini ini dikenali Quigley sebagai zaman keemasan iaitu era keamanan dan kemakmuran. Keamanan muncul setelah ketiadaan perbalahan antara unit-unit politik dan juga ketiadaan pertentangan dengan masyarakat yang berhampiran. Kemakmuran pula wujud kerana berakhirnya peperangan dalam masyarakat, luasnya perdagangan antarabangsa serta kewujudan sistem mata wang. Tahap ini dapat dilihat dengan kemajuan yang berlaku di bandar-bandar utama dan pembinaan monumen seperti Taman Tergantung Babylon, piramid dan sebagainya.
Tahap keretakan muncul apabila berlakunya kemerosotan ekonomi yang ketara, kemerosotan taraf hidup, perang saudara dengan pelbagai pihak yang berkepentingan dan tahap buta huruf yang tinggi. Masyarakat semakin lemah walaupun pelbagai usaha diambil untuk memulihkan keadaan, tetapi kepincangan dalam masyarakat terus berlaku. Pada masa ini muncul gerakan agama baru untuk menarik perhatian masyarakat.
Tahap ini mungkin mengambil masa yang lama sehingga muncul tahap yang ketujuh iaitu tahap penaklukan. Tahap ini berlaku apabila masyarakat bersedia mempertahankan diri mereka dan kesempatan ini diambil oleh pihak luar yang lebih berwibawa dan bertenaga. Kesan daripada penaklukan ini menyebabkan sesebuah peradaban itu musnah dan lenyap.
Quigley berpendapat bahawa jatuh bangunnya sesebuah peradaban ditentukan oleh alat pengembangan (an instrument of expansion). Terdapat tiga elemen penting dalam alat pengembangan ini iaitu insentif untuk mencipta, terdapat peningkatan dalam hasil (accumulation of surplus) yang membolehkan sebahagian masyarakat menguasai kekayaan dan membelanjakan kekayaan tersebut. Peningkatan hasil tadi digunakan untuk menghasilkan ciptaan-ciptaan baru. Kejayaan dalam penciptaan itu bergantung kepada cara masyarakat itu mengelolakan anggotanya. Sesetengah masyarakat menawarkan insentif yang banyak, kerana terdapat banyak ganjaran dan galakan daripada instituisi mereka. .
Accumulation of surplus bermaksud sebahagian individu atau organisasi dalam masyarakat memiliki sumber-sumber kekayaan yang melebihi keperluan mereka dan ini membolehkan perbelanjaan sumber-sumber tersebut dalam jangka masa pendek.
Surplus creating instrument adalah elemen penting untuk menyemarakkan lagi perkembangan peradaban di samping adanya unsur-unsur rekacipta (invention) dan pelaburan. Unsur “lebihan mencipta alat” ini bukan sahaja merujuk kepada organisasi ekonomi tetapi boleh juga kepada organisasi-organisasi politik, ketenteraan, sosial, agama dan sebagainya. Di Mesopotamia, golongan pendeta diberi penghormatan yang tinggi dalam masyarakat. Di Mesir, organisasi politik mencipta lebihan melalui kutipan cukai daripada rakyat jelata. Dalam peradaban Barat , pada zaman Feudal, organisasi ketenteraan mencipta ( lebihan mencipta alat ) dengan membenarkan sebahagian kecil masyarakat, golongan tentera atau tuan-tuan tanah mengumpul hasil-hasil ekonomi daripada golongan serf supaya golongan serf mendapat perlindungan.
“Alat pengembangan” akan merosot secara perlahan ekoran kadar pelaburan susut nilai. Keadaan ini semakin buruk apabila berlakunya pengurangan dalam penciptaan dan accumulator of surplus. Hal ini boleh berlaku kerana beberapa sebab. Antaranya ialah sekumpulan masyarakat menguasai sumber-sumber ekonomi dan golongan ini tidak mahu melakukan apa-apa perubahan untuk memperbaiki masyarakat. Dalam masa yang sama, usaha-usaha pembinaan monumen, dan perbelanjaan terhadap projek-projek mewah tidak membawa kepada cara pengeluaran yang berkesan. Keadaan dalam masyarakat terus mewujudkan tekanan dan melemahkan anggota masyarakat untuk melakukan aktiviti yang kreatif dan inovatif. Quigley merumuskan bahawa peradaban itu muncul apabila lahirnya ‘ a producing society with an intrument of expansion ‘
Teori Pertembungan/Petentangan Peradaban
Sungguhpun kedua-dua tokoh yang akan dibincangkan ini kurang jelas membicarkan persoalan perkembangan proses perkembangan peradaban, namun penulis merasakan bahawa idea-idea yang diketengahkan mereka masih relevan dengan pokok persoalan kita iaitu perkembangan peradaban dan faktor-faktor yang menentu jatuh bangunnya sesebuah peradaban.
Apabila membincangkan teori-teori jatuh bangunnya sebuah peradaban masa kini, rasanya kurang lengkap jika kita tidak mengetengahkan tesis yang dikemukakan oleh Samuel P. Huntington dalam bukunya The Clash of Civilization and the Remaking of World Order. Buku yang penuh kontroversi dan menarik perdebatan ramai, kini telah membuka era baru dalam kajian peradaban yang lebih komprehensif jika dibandingkan dengan teori-teori yang terdahulu.
Sungguhpun Huntington lebih memfokuskan kepada tema pertembungan peradaban, namun beliau mengakui ada faktor-faktor yang menyumbang kepada kekuatan sesebuah peradaban moden serta ada faktor-faktor yang menjadi penentu kurangnya pengaruh sesebuah peradaban. Hal ini ditegaskan oleh beliau bahawa peradaban-peradaban senantiasa mengalami kemunduran sekaligus berkembang. Peradaban bersifat dinamis, bangkit dan jatuh, menyatu dan saling terpisah, dan sebagaimana halnya dengan apa yang mereka belajar sejarah, ia juga tenggelam dan terkubur di dalam pasir-pasir masa.
Bagi Huntington, konflik antara peradaban merupakan fasa yang terbaru dalam konflik dunia moden khususnya selepas era perang dingin. Menurutnya identiti peradaban akan menjadi lebih penting pada masa hadapan, dan sebahagian dunia akan dibentuk oleh interaksi antara tujuh atau peradaban besar ini. Peradaban besar itu termasuklah peradaban Barat, Confucios, Jepun, Islam, Hindu, Slavic-Orthodox, Latin Amerika dan mungkin juga peradaban Afrika. Konflik yang paling penting pada masa hadapan dijangka akan berlaku pada garis keretakan yang memisahkan peradaban-peradaban ini.
Huntington memperturunkan enam faktor yang menyebabkan berlakunya keretakan atau pertembungan antara peradaban. Faktor yang pertama ialah peradaban dibezakan antara satu sama lain oleh sejarah, bahasa, budaya, tradisi dan yang paling penting ialah agama. Justeru, masyarakat daripada peradaban yang berbeza mempunyai pandangan yang berlainan tentang banyak perkara. Menurut Huntington perbezaan ini timbul dalam proses yang lama dan perbezaan ini tidak mudah lenyap kerana sifatnya lebih asasi, berbanding dengan perbezaan ideologi politik dan rejim kerajaan yang berasaskan politik.
Kedua, interaksi antara manusia daripada berlainan peradaban semakin bertambah kerana dunia kini semakin mengecil. Peningkatan interaksi ini memperdalamkan lagi kesedaran di kalangan kelompok itu sendiri. Orang Amerika misalnya lebih bersifat negatif terhadap pelabur-pelabur Jepun daripada pelabur dari Kanada dan negara-negara Eropah yang lain.
Ketiga, proses pemodenan ekonomi dan perubahan sosial di seluruh dunia telah memisahkan orang daripada identiti tempatan yang telah lama berakar umbi dan proses ini melemahkan negara bangsa sebagai asas identiti. Bagaimanapun menurut Huntington, agama telah berjaya menembusi jurang selalunya dalam bentuk gerakan yang dilabelkan sebagai fundamentalis. Golongan fundamentalis terdiri daripada kalangan anak muda, lulusan universiti, sekolah menengah, para profesional dan ahli perniagaan.
Keempat, kesedaran tamadun akan semakin meningkat dan akan dipercepatkan oleh dwi-peranan Barat. Pada satu pihak, Barat berada di puncak kekuasaan dan pada masa yang sama sebagai kesan kekuasaan Barat menyebabkan dunia Barat mencari jalan keluar seperti pengislaman semula Timur Tengah. Kelima, ciri dan perbezaan kebudayaan agak sukar untuk diubahsuai dan oleh itu sukar dikompromikan berbanding dengan ciri-ciri ekonomi dan politik. Malah lebih daripada persoalan etnik, agama merupakan tekanan yang hebat di kalangan umat manusia. Seseorang itu mungkin boleh dianggap separuh Perancis dan separuh Arab dan seterusnya menjadi warga dua negara. Namun tidak mungkin boleh menjadi separuh Katolik dan separuh Islam.
Yang terakhir ialah keserantauan ekonomi semakin meningkat menyebabkan kerjasama serantau menguntungkan negara-negara anggota kesatuan berdasarkan peradaban yang sama. Salah satu kejayaan Barat ialah kerjasama serantau yang diamalkan dan dikongsi bersama seperti Kesatuan Ekonomi Eropah (EEC). Bergantung kepada asas-asas dalam budaya di Eropah dan Kristian Barat tetapi kejayaan ini tidak mutlak akibat timbul masalah tentang tiadanya persefahaman seperti itu. Penggunaan mata wang Euro memperlihatkan Britain enggan menyertainya. Sungguhpun peradaban-peradaban lain di Asia Selatan dan Asia Tenggara mempunyai organisasi serantau mereka sendiri seperti South Asian Association for Regional Cooperation (SAARC) dan Association of Southeast Asian Nations (ASEAN), namun kejayaan kerjasama dalam bidang ekonomi kurang menggalakkan.
Faktor kedua yang menjadikan peradaban Barat lebih dominan ialah pelaku utamanya iaitu Amerika berganding bahu di belakang teman seagama mereka. Barat kini berada di kemuncak kekuasaannya. Musuhnya Jepun tidak memiliki taring yang berbeza. Barat menguasai politik antarabangsa dan instituisi keselamatan bersama-sama Jepun. Soal politik sejagat dan isu keselamatan diselesaikan dengan arahan Amerika Syarikat, Britain dan Perancis secara berkesan. Isu ekonomi dunia diselenggarakan oleh Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun dan kesemuanya mengekalkan hubungan yang amat rapat antara satu sama lain dengan mengenepikan negara-negara yang sebahagian besarnya bukan negara Barat.
Pengaruh Barat terhadap Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu yang hanya sesekali diganggu oleh pengecualian undi China, mendorong keputusan Bangsa-Bangsa Bersatu memerangi Iraq dan seterusnya memusnahkan senjata canggih Iraq dan menghapuskan kemampuannya membuat senjata.
Dalam membicarakan tahap perkembangan peradaban manusia, Ali Shariati mengaitkan peristiwa Habil dan Qabil sebagai titik bermula sejarah bermulanya pertentangan manusia. Dengan melihat dari sudut sosiologi, kisah ini mencerminkan berakhirnya zaman kehidupan primitif. Berakhirnya zaman ini bererti sistem kehidupan asal manusia yang menitikberatkan soal persamaan dan persaudaraan sebagaimana yang digambarkan melalui kegiatan berburu dan menangkap ikan pada zaman Habil.
Sistem ini kemudiannya digantikan pula dengan sistem pertanian yang mengizinkan pemilikan peribadi. Apabila berlakunya pembolotan pemilikan peribadi, maka lahirlah masyarakat kelas pertama yang melakukan penindasan dan kezaliman. Matinya Habil dan hidupnya Qabil, merupakan kenyataan sejarah yang tidak dapat diubah lagi. Habil mati tanpa meninggalkan zuriat, yang mengizinkan keturunan Qabil untuk terus hidup, berkuasa dan mencorakkan segala-galanya. Apabila masyarakat, kerajaan, ekonomi, agama telah dikuasai oleh Qabil maka pandangan dan perbuatan Qabil mula diterima sebagai nilai sejagat masyarakat selepas itu. Inilah peristiwa yang menjadi punca kepada keidakseimbang yang berlaku dalam pandangan dan kehidupan manusia kini.
Ali Shariati menegaskan lagi bahawa pertelagahan yang berlaku antara Habil dan Qabil bukanlah pertelagahan antara adik beradik kerana merebut seorang gadis, malah pertelagahan tersebut mewakili satu pertentangan yang berterusan antara dua pihak dalam masyarakat manusia . Kisah ini merupakan cerita yang menjadi kesinambungan kisah hidup manusia di sepanjang zaman.
Sebagai lanjutan daripada kisah Habil. Ali Shariati menyebut empat manusia yang disebut dalam Al-Quran yang dilambangkan melalui watak Firaun, Qarun, Haman, dan Bal’am. Pada setiap zaman, keempat-empat jenis manusia ini telah tampil sebagai pendukung status quo dan penentang perubahan sosial. Firaun adalah penguasa yang korup, penindas yang selalu merasa dirinya sahaja yang benar, tonggak sistem kezaliman dan kemusyrikan. Haman mewakili kelompok teknokrat, ilmuan yang menunjang kezaliman dengan memperalatkan ilmu. Qarun adalah cerminan kaum kapitalis, pemilik sumber kekayaan, rakus, menghisap seluruh kekayaan massa. Bal’am melambangkan kaum ruhaniyun, tokoh-tokoh agama yang menggunakan agama untuk mengesahkan kekuasaan yang dikumpul.
Ali Shariati mengatakan ada dua perkara yang memungkinkan terbinanya sesebuah peradaban. Faktor yang pertama ialah fenomena hijrah atau migrasi dan faktor kedua ialah peranan manusia khususnya golongan intelektual.
Bagi Ali Shariati, hijrah bukan sahaja merujuk kepada perpindahan Nabi Muhammad s.a.w. dari Mekah ke kota Madinah untuk menyelamatkan diri daripada seksaan kaum Quraisy tetapi mempunyai erti kata yang lebih luas dan mendalam. Daripada kajian beliau terhadap 27 peradaban, Ali Shariati merumuskan bahawa peradaban lahir disebabkan penghijrahan manusia dari tempat asal ke tempat baru. Sebaliknya tidak terdapat sebarang peradaban yang lahir dan berkembang di kalangan masyarakat primitif yang tidak pernah berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain.
Faktor kedua ialah peranan manusia itu sendiri khususnya golongan intelektual yang bertanggungjawab menentukan nasib dan mengubah masa depan mereka, kerana mereka diberi akal fikiran dan kudrat untuk berusaha. Beliau mengaitkan faktor tersebut dengan ayat Al-Quran :
“Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum jika mereka tidak mahu mengubahnya”.(Al Quran)
Golongan intelektual turut terlibat dalam menegakkan sesebuah peradaban. Istilah golongan intelektual yang digunakan Ali Shariati ialah rausyanfikr. Golongan ini bukan sekadar ilmuan tetapi golongan yang merasa bertanggungjawab untuk memperbaiki masyarakatnya bagi menunaikan cita-cita mereka. Merumuskannya ke dalam bahasa yang dapat difahami setiap orang, menawarkan strategi dan alternatif penyelesaian masalah. Beliau mentafsirkan bahawa golongan intelektual
”one who is conscious of his own “humanistic status” in a specific social and historical time and place. His self awareness lays upon him the burden of responsibility. He responsibily, self-conciuosly leads his people in scientific, social and revolutionary action.”
Teori Pendekatan Psikologi/Ketuhanan
Aurobindo, seorang reformis dan ahli falsafah India berpendapat bahawa pola perkembangan peradaban manusia boleh difahami dengan menggunakan pendekatan psikologi. Dengan itu beliau menolak pendekatan teori-teori jatuh bangun oleh para-para sarjana sebelum ini. Beliau mendapati pendekatan psikologi yang digunakan oleh ahli psikologi Jerman iaitu Lamprecht, cukup relevan bagi menjelaskan tahap-tahap perkembangan peradaban manusia. Lima tahap tersebut ialah tahap simbolik, typal, konvensional, individualis dan subjektif.
Pada tahap simbolik, simbol-simbol keagamaan memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat. Manusia secara umumnya melahirkan perasaan mereka melalui unsur-unsur mitos, puisi, dan kesenian. Amalan–amalan budaya dan instituisi sosial turut terpengaruh dengan unsur-unsur simbolik. Misalnya dalam kitab Rig Veda pada zaman Vedik (1500-1000SM) menyanjung serta mengagung-agungkan upacara perkahwinan Surya, puteri kepada Dewa Matahari. Manusia dianggap sebagai insan kerdil dan merupakan imej ketuhanan. Pendek kata simbol-simbol keagamaan hadir di belakang kehidupan mereka. Aurobindo meletakkan Zaman Vedik iaitu zaman pembentukan budaya orang Arya di India tergolong dalam tahap ini.
Tahap typal memperlihatkan perkembangan seterusnya dalam perkembangan peradaban manusia .Menurut Aurobindo kesedaran terhadap sistem varna mula berubah. Struktur serta sistem sosial masyarakat mula berkembang kerana wujudnya perbezaan dan fungsi ekonomi empat golongan yakni brahmin, ksatriya, vaisya dan sudra. Pada tahap ini, agama menjadi penghalang untuk mewujudkan etika kehidupan yang sempurna.
Pada tahap konvensional, pengamalan sistem varna menjadi lebih ketara. Agama pula digambarkan oleh Aurobindo sebagai
“religion in the conventional stage becomes stereotype, thought subjected to infallible authorities, and education bound to unchangeable forms”. Eropah pada Zaman Pertengahan dan India pada masa kini menurut Aurobindo masih berada pada tahap konvensional.
Tahap individualis disebut sebagai ta’kul (reason), memberontak (revolt), kemajuan (progress) dan kebebasan (freedom). Keempat-empat elemen tadi cukup penting untuk melahirkan rasa ketidakpuashatian di kalangan anggota masyarakat. Dalam usaha mengatur kehidupan yang lebih sempurna, perjuangan untuk mewujudkan persamaan dan kebebasan di kalangan anggota masyarakat mula terserlah. Kesannya muncullah pihak-pihak yang memperjuangkan hak masing-masing tidak kira golongan miskin atau kaya yang kemudiannya melahirkan golongan berideologi fasis, komunis dan sosialis.
Pada tahap subjektif bagi Aurobindo, manusia mestilah melalui semua empat tahap sebelum ini untuk mencapai tahap terakhir yang juga disebut sebagai spiritual atau dikenali juga sebagai tahap minda unggul (supermind). Pada tahap ini manusia percaya bahawa kuasa ketuhanan mengatasi keupayaan intelek. Manusia melihat intelek sebagai perantara antara dunia material (infrarational) dan dunia kerohanian (suprarational). Apabila semua orang atau sebahagiannya mendapat ilmu pengetahuan yang subjektif dengan identiti ketuhanan, maka muncullah tahap masyarakat berperadaban.
Bagi Aurobindo syarat untuk mencapai tahap minda unggul atau ketuhanan, dua perkara mesti dipenuhi serentak. Pertama, mestilah muncul individu
“ who are able to see, to develop, to re-create themselves in the image of Spirit and communicate both their idea and its power to mass.”
Menurutnya, Mahatma Ghandi telah mencapai tahap ini. Pandangan ini sama dengan pandangan Ali Shariati yang menganggap bahawa golongan intelek perlu ada untuk menggerakkan masyarakat.
Kedua, kesediaan untuk membaca minda masyarakat supaya message daripada Tuhan dapat diterima. Manusia pada masa ini dipenuhi dengan rasa rendah diri, kurang berkesedaran dan kurang mengetahui aspek spiritual. Justeru mereka tidak bersedia menerima imej ketuhanan. Aurobindo seterusnya menegaskan bahawa jika seseorang ingin mencapai tahap ketuhanan, unsur-unsur material perlu dihindarkan dalam masyarakat.
0 komentar:
Posting Komentar