Mengintegrasi Ke Dalam Rantaian Penawaran Global

Mengintegrasi Ke Dalam Rantaian Penawaran Global
Dalam dunia perdagangan dan pelaburan yang saling berhubung kait dan sangat kompetitif, pengeluaran barangan dan perkhidmatan negara dan di peringkat global adalah sebahagian daripada rantaian penawaran yang sentiasa berevolusi menurut keperluan pengguna tempatan dan luar negara. Satu langkah yang perlu ialah Malaysia mengintegrasikan rantaian penawaran negara bagi mewujudkan skala. Kebanyakan entiti pengeluaran barangan dan perkhidmatan di Malaysia adalah terpisah, tidak berinteraksi dan berkerjasama antara satu sama lain. Oleh yang demikian, mereka tidak berfungsi secara efektif dan cekap. Masalah ini ditambah pula dengan ketidakcekapan proses kerajaan yang berkaitan yang telah menyumbang kepada ketidakupayaan entiti- entiti ini untuk berfungsi secara sempurna dan bersaing di peringkat global.

Sebagai sebuah negara yang kecil, Malaysia mestilah tangkas, fokus, fleksibel dan cekap untuk bersaing. Malaysia perlu melengkapkan diri untuk menyertai rantaian penawaran global untuk mendapat manfaat sepenuhnya jualan barangan dan perkhidmatannya menerusi faedah berbanding yang berdasarkan inovasi. Pengeluaran dan perdagangan negara dan global semakin banyak ditentukan oleh rantaian penawaran. Rantaian penawaran didefinisikan sebagai sistem yang meliputi organisasi, pekerja, proses, teknologi, aktiviti, maklumat dan sumber yang melibatkan pergerakan sesuatu produk dari pembekal kepada pelanggan atau pengguna terakhir.

Pada hari ini, syarikat multinasional (MNC) telah mengembangkan rantaian penawaran dengan meliputi rantaian pengeluaran di Asia Timur dan saluran pengagihan dalam pasaran negara maju. Industri elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia adalah sebahagian besar daripada rantaian penawaran ini, dengan produk direka di California, cip yang dikeluarkan di Taiwan, cakera yang dibuat di Korea, paparan LED dibuat di Jepun dan bahagian yang lain dibuat dan dipasang di Malaysia yang akhirnya akan dieksport ke AS dan EU. Apabila sesuatu syarikat atau negara berjaya memasuki rantaian penawaran global, ia akan memiliki faedah skala dan jenama yang sukar bagi pesaing untuk mengugatnya.

Globalisasi membolehkan syarikat untuk mengembangkan skop operasi dan sasaran pasaran melebihi pencapaian syarikat biasa yang hanya berusaha menjual kepada kawasan kejiranan, bandar atau negara. Menjadi sebahagian daripada rantaian penawaran global akan memberi pendedahan kepada piawaian yang lebih tinggi dan mengubah tenaga kerja serta minda dan permintaan pengguna. Dengan itu, membolehkan firma-firma ini memasuki ke dalam pusingan penambahbaikan yang lebih tinggi (virtuos circle) - firma dalam rantaian penawaran akan bertindak balas dengan menaiktaraf mutu kawalan mereka, kecekapan dan piawaian untuk memenuhi keperluan pengguna akhir. 

Dalam masa 50 tahun yang lepas, negara membangun seperti Malaysia telah melangkah ke dalam status berpendapatan sederhana dan berpendapatan tinggi dengan menyertai rantaian penawaran global. Globalisasi adalah mengenai kerjasama dan persaingan rantaian penawaran dan jaringan nilai ini melebihi nilai setiap bahagian jika dinilai setiap satu. Penambahan kekayaan dan pendapatan ini datangnya dari peningkatan nilai dalam rantaian penawaran.

Kejayaan Malaysia mesti dipacu ke arah penjanaan pendapatan yang diperolehi sebagai faedah daripada menjadi sebahagian daripada rantaian penawaran global. Setiap perbadanan, multinasional atau tempatan, PKS, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kerajaan atau para pekerja individu dan badan kerajaan harus diintegrasi ke dalam rantaian penawaran nasional, yang kemudiannya akan menjadi sebahagian daripada rantaian penawaran global. Kunci kepada nasib masa depan Malaysia ialah mencari kekuatan kita dalam rantaian penawaran global, di mana kita boleh bersaing dan membolehkan ekonomi negara tumbuh dengan mampan. Dalam aspek pembuatan, MNC tempatan boleh menjadi tulang belakang kepada Malaysia untuk membekalkan produk kita kepada dunia. PKS Malaysia akan membekal sama ada kepada MNC tempatan 
atau secara terus kepada rantaian penawaran asing. Integrasi syarikat Malaysia dalam rantaian penawaran nasional akan menyokong matlamat yang lebih tinggi iaitu mewujudkan lebih banyak MNC tempatan yang akan meningkatkan jenama Malaysia di peringkat dunia.

Malaysia harus berusaha mengintegrasi PKS dan MNCnya dalam rantaian penawaran global. Kerajaan mempunyai peranan penting dalam usaha ini. Tetapi usaha ini bukanlah mudah. Penglibatan seluruh negara perlu dirancang untuk mencipta satu rantaian penawaran nasional yang bersepadu supaya Malaysia dapat mencari kekuatan dalam pasaran global. Konsep 1Malaysia yang dijuarakan oleh Perdana Menteri dapat dioperasikan supaya semua segmen ekonomi Malaysia, baik pihak swasta, kerajaan, mahupun NGO, perlu faham bahawa kita mempunyai kepentingan untuk kejayaan Malaysia dan kita mesti bekerjsama bagi meningkatkan kecekapan dan saling berhubungkait di dalam ekonomi.

Mengintegrasi rantaian penawaran negara yang berskala kurang merupakan satu komponen penting untuk mencapai objektif MBE. Kegagalan BCIC untuk bertapak adalah disebabkan rantaian penawaran yang ada sekarang tidak diintegrasikan dengan rantaian penawaran tempatan yang lain mahupun yang berkait secara global dan kompetitif. Menyertai dan membangunankan satu rantaian penawaran nasional yang bersepadu merupakan pra-syarat bagi BCIC yang cergas. Firma bumiputera yang berjaya perlu diserlahkan sebagai juara, yang mana kerjasama mereka dengan ahli-ahli komuniti perniagaan yang lain, termasuk GLC, akan meningkatkan prestasi keseluruhan BCIC. Ini tidak boleh dilakukan secara berasingan dan mengintegrasikan rantaian penawaran yang sekarang ini wujud secara berasingan adalah amat penting, di mana setiap komuniti mempunyai peranan yang perlu dimainkan. Bahaya yang sebenar kepada Malaysia ialah jika pertumbuhan tidak menjadi keutamaan, rantaian penawaran kita akan terpinggir atau lebih buruk lagi akan ketinggalan. Jika dibiarkan begitu, pesaing serantau akan mengatasi kita terutamanya jika modal dan bakat terus mengalir keluar negara.

Halangan utama Malaysia ialah ketiadaan persaingan yang lebih saksama untuk meningkatkan persaingan dalam negara sendiri. Kewujudan sekatan dalam pemilikan ekuiti dan operasi serta liberalisasi dan dasar deregulasi yang lembab telah menghadkan akses ke dalam Malaysia, iaitu menjadikan pelabur dari luar negara menghadapi kesukaran dan kekaburan untuk melabur di Malaysia. Ini telah menyebabkan ketidakberkesanan sistem pengangkutan dan pengagihan yang mana akan menghalang kemajuan ekonomi dan kesalinghubungan. Satu lagi halangan utama dalam mengintegrasikan rangkaian ekonomi domestik ialah sikap berseteru di antara entiti-entiti kerajaan/GLC dengan sektor swasta. Kurangnya kepercayaan di antara kumpulan etnik yang berbeza di Malaysia juga merupakan halangan kepada rangkaian integrasi ekonomi 
domestik.

Usaha untuk mengintegrasikan rangkaian penawaran nasional memungkinkan satu rangka tindakan untuk memudahkan keupayaan negara untuk bersaing. Kerajaan mesti membentuk garis panduan yang jelas untuk dasar negara bagi menyokong persaingan. Tumpuan utama harusla kepada penandaarasan piawai dan amalan terbaik antarabangsa dan bukan hanya berdasarkan kepada penarafan. Satu rangkaian maklum balas yang berkesan perlu diadakan secepat mungkin untuk memastikan dasar adalah releven dan didorong penggunaan dan pencapaian yang diukur selaras dengan hasil yang dingini. Mengaplikasikan strategi untuk mempermudah, memfokus dan mengintegrasi akan menyaksikan seluruh rangkaian kerajaan berusaha menuju ke arah memenuhi keperluan pemegang berkepentingan dan juga pada masa yang sama menyediakan satu suasana untuk menyokong perniagaan dalam mempertingkatkan rantaian nilai dan mencari 
bitara pasaran baru serta mempertingkatkan amalan mampan. 

RMK-10 telah menyedari seluruh konsep rantaian penawaran nasional dan dengan itu keperluan untuk integrasi supaya mencapai kecekapan ekonomi. Meskipun struktur operasi pada masa kini tidak boleh diubah dalam waktu yang singkat, reformasi perlu bermula dari sekarang. Kerajaan mempunyai peranan yang penting sebagai pemudahcara dan pemungkin dalam mencipta satu rantaian penawaran nasional yang berintegrasi dan berkesan, memastikan perkhidmatan yang disampaikan oleh kerajaan dari semua peringkat dipermudahkan, berfokus dan berintegrasi.

0 komentar:

Posting Komentar

 

Kumpulan Artikel News Copyright © 2011-2012 | Powered by Blogger