Faktor-Faktor Kejayaan Utama (Key Success Factor - Ksf) Usahawan

Faktor-Faktor Kejayaan Utama (Key  Success Factor - Ksf) Usahawan KSF Usahawan 
KSF secara amnya menerangkan bahawa setiap perniagaan sepatutnya perlu mempunyai faktor-faktor kejayaan utama. Tetapi tidak semestinya semua syarikat mempunyai faktor-faktor kejayaan yang sama. Menurut Austin (2002), CSF merupakan satu kunci untuk mengenalpasti kepuasan pencapaian sesuatu organisasi dalam usaha untuk mencapai matlamat mereka. Menurut beliau lagi CSF merupakan satu cara untuk mengenalpasti keperluan yang perlu ada untuk mencapai sesuatu kejayaan. 

Usahawan yang berjaya juga mestilah cepat bertindak untuk mengubah strategi yang mereka laksanakan berdasarkan kepada keperluan semasa. Ini bermaksud, mereka tidak hanya bergantung kepada penetapan strategi awal yang dilaksanakan. Seterusnya, mereka juga bijak menggunakan masa yang sedia ada dengan sebaik mungkin (Timmons dan Spinelli, 2000; Kuratko dan Hodgetts, 2001; Walter Kuemmerle, 2002; Usahawan Sukses, 2002; Rosdi, 2002). 

Perancangan dan pendapat yang baik merupakan sahabat yang terbaik kepada usahawan. Ianya dapat membantu para usahawan ini untuk mendapatkan pemasaran dan kepercayaan daripada pelanggan dan pembekal (Batten, 2002). 

Usahawan perlu meningkatkan profesionalisma dan disiplin diri semasa menguruskan perniagaan. Ianya dapat dilakukan dengan melaksanakan kod etika yang bersesuaian serta bersifat amanah, jujur dan yakin kepada diri sendiri (Timmons dan Spinelli, 2000; Kuratko dan Hodgetts, 2001; Noor Alia, 2002). 

Terdapat beberapa ciri yang akan menentukan seseorang usahawan itu berjaya ataupun tidak di dalam bidang yang diceburinya. Ciri yang utama ialah mereka yang mempunyai sikap suka membuat sesuatu yang orang tidak berjaya ‘tidak suka’ dan ‘tidak akan buat’ (Megginson et al., 2000; Usahawan Sukses, 2002; Rosdi, 2002). 

Seterusnya ialah struktur organisasi di dalam perniagaan. Ini bermakna terdapat pengkhususan perlaksanaan di dalam kerja yang dilakukan. Sebagai contoh, terdapat individu yang menguruskan akaun dan kewangan, pemasaran dan pengurusan sumber di dalam organisasi tersebut. Ini membolehkan perlaksanaan operasi lebih cekap dan berkesan, seterusnya mampu untuk bersaing dengan pesaing di dalam sektor yang sama. Usahawan yang berjaya juga ialah mereka yang sanggup berdikari dan berjaya 
menguruskan kewangan sendiri tanpa mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak. Ini akan menjadikan mereka dapat memerdekakan diri dan emosi agar dapat mengharungi cabaran yang sedia ada di dalam pernigaan yang mereka ceburi. (Hisrich et al., 2000; Timmons dan Spinelli, 2000; Usahawan Sukses 2002; Rosdi 2002). 

Mereka yang berjaya menganggap bahawa cabaran dalam dunia perniagaan adalah dugaan dan godaan hidup merupakan individu yang memiliki ciri-ciri usahawan yang berjaya. Ianya secara tidak langsung akan membuatkan mereka lebih bijaksana dan minda dapat bekerja dengan pantas dalam membuat keputusan dan menikmati kejayaan yang sebenarnya (Timmons dan Spinelli, 2000; Kuratko dan Hodgetts, 2001; Usahawan Sukses, 2002; Rosdi, 2002). 

Ketahanan mental dan sikap tidak takut kepada perubahan dan kegagalan akan membantu seseorang usahawan itu mengecapi kejayaan yang sebenarnya. Apabila seseorang usahawan itu gagal dalam menguruskan perniagaannya buat pertama kali, itu bukanlah noktah terakhir perniagaannya. Beliau mestilah tidak patah semangat dan hilang rasa hormat pada diri sendiri. Kebijaksanaan dalam mengatur kembali strategi dan sistem terkini mengikut perkembangan terkini, teknik-teknik mengatasi pesaing, kehendak pelanggan dan ledakan teknologi maklumat merupakan kelebihan bersaing kepada usahawan tersebut (Hisrich et al., 2000; Timmons dan Spinelli, 2000; Kuratko dan Hodgetts, 2001; Usahawan Sukses, 2002; Rosdi, 2002). 

Usahawan bumiputera tidak perlulah terlalu ghairah untuk membuka perniagaan secara besar-besaran pada peringkat awal (2 atau 3 tahun usia perniagaan) dengan menanggung hutang dalam jumlah jutaan ringgit (Usahawan Sukses, 2002). 

Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, jalan yang singkat atau jalan pintas perlu dielakkan dalam menjalankan sesuatu perniagaan. Perniagaan yang mengikut peraturan dan etika perniagaan ialah perniagaan yang dilakukan sendiri dengan sepenuh masa. Terdapat tujuh faktor atau langkah sebagai panduan bagi membentuk kejayaan seorang usahawan (Nadzri, 2000).  
i) Pertama ialah keputusan yang dibuat secara sedar. Rancangan perniagaan yang dibuat secara sedar yang mengambil kira setiap aspek perniagaan akan berjaya meningkatkan keuntungan syarikat dan lebih berdaya maju. Melalui rancangan perniagaan ini juga, para usahawan akan dapat mengenal pasti potensi syarikat untuk lebih berdaya saing di dalam industri yang mereka ceburi. 
ii) Kedua ialah minat terhadap bidang perniagaan yang diceburi. Usahawan ataupun ahli perniagaan akan lebih bersikap positif terhadap kerja ataupun tanggungjawab yang mereka laksanakan sekiranya mereka minat di dalam bidang yang telah diceburi. Contohnya, kesanggupan untuk meluangkan masa dalam perniagaan, berani mengambil risiko, bersikap lapang dada dan tabah menghadapi cabaran dalam perniagaan. 
iii) Ketiga, tingkatkan kemahiran atau kepakaran dengan bersungguh-sungguh. 
Tetapkan sendiri matlamat pencapaian dari masa ke semasa serta cuba elakkan diri dari melakukan kesilapan bagi kali yang kedua. Kepakaran perlu ada pada diri sendiri. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah ke apa juga peringkat kerana seorang usahawan yang berjaya perlu bersedia melakukan apa saja pada setiap masa. Perniagaan perlu dibentuk berdasarkan kepakaran yang ada dan sewajarnya perniagaan dimulakan secara kecil-kecilan. 
iv) Keempat, belajar daripada pakar-pakar atau orang yang lebih arif berkaitan perniagaan yang diceburi. Usahawan boleh bekerja dengan orang lain atau mengikuti kursus, seminar dan perbincangan untuk menambahkan pengalaman perniagaan. Ini adalah satu cara bagi memendekkan kaedah atau prosedur dalam perniagaan dan mengelak daripada melakukan perkara yang tidak mendatangkan faedah atau perkara yang merugikan. 
v) Kelima, bersedia menghadapi masalah atau risiko. Usahawan perlu sentiasa bersedia bagi menghadapi masalah,dari segi kewangan, pemasaran dan risiko perniagaan serta mengambil kira setiap aspek dan iktibar dari segala keadaan yang berlaku. Pelbagai cabaran akan dihadapi, lebih-lebih lagi risiko dalam menghadapi pesaing yang ramai. Oleh itu, usahawan perlu bersedia dan bijak menyelesaikan masalah yang berlaku. 
vi) Keenam, berkebolehan memasarkan produk. Usahawan sewajarnya mampu keluarkan produk yang ada pasaran atau permintaan dan boleh mendatangkan keuntungan. Pelbagai cara boleh dilakukan untuk menarik perhatian pelanggan. Oleh itu, usahawan perlu tahu selok- belok perniagaan dan ilmu yang berkaitan sebelum menceburi bidang yang mencabar ini. 
vii) Dan yang terakhir ialah jangan cepat kecewa atau mengalah. Kegagalan perlu dijadikan sebagai pengalaman dan peluang untuk terus berjaya. Usahawan perlu bersikap positif dan mengambil ikhtibar terhadap kesilapan lampau supaya lebih maju di masa hadapan. 

Dengan mengetahui kepentingan matlamat ini ianya dapat menjadi penunjuk arah dan tujuan untuk menghadapi kehidupan. Matlamat ini juga akan menjadi asas kepada penyaluran idea, masa dan tenaga yang berkesan. Dengannya juga, usahawan dapat mengelak dan mengurangkan pembaziran masa, tenaga dan kewangan yang menjadi ukuran kejayaan dalam mengendalikan perniagaannya. 

Sehubungan ini juga matlamat dapat mewujudkan asas keyakinan diri, perasaan bangga dengan kemajuan yang telah dikecapi yang mempunyai hubungan langsung dengan perancangan awal yang telah dibuat oleh usahawan yang terbabit. Matlamat adalah penentu utama kepada lahirnya sikap positif dalam diri usahawan yang berjaya (Timmons dan Spinelli, 2000; Kuratko dan Hodgetts, 2001;Usahawan Sukses 2002; Rosdi 2002). 

Terdapat beberapa ciri yang telah dinyatakan oleh Rosdi (2002), sebagai faktor utama yang mendorong kepada kejayaan seseorang usahawan dalam bidang yang mereka laksanakan. Di antaranya ialah hubungan jaringan dalam perniagaan merupakan ciri yang penting bagi membolehkan seseorang usahawan itu mampu bersaing dan bertahan lama dalam bidang perniagaan yang diceburinya. Ini bermakna, usahawan tersebut itu mempunyai hubungan yang baik dengan pesaing, pembekal dan pelanggan. Ianya bertujuan memberi kelebihan kepada usahawan untuk mengenal pasti peluang dan ancaman terhadap perniagaannya. 

Faktor kepercayaan juga terlibat secara langsung sebagai penentu kepada kejayaan firma. Mempercayai rakan kongsi adalah merupakan faktor yang penting dalam memastikan sesebuah perniagaan itu mampu bertahan. Unsur etika di dalam perniagaan adalah faktor utama yang mendorong kepada wujudnya unsur kepercayaan di dalam rakan kongsi perniagaan (Timmons dan Spinelli, 2000; Kuratko dan Hodgetts, 2001; Rosdi, 2002). 

Unsur kepimpinan dan budaya perniagaan yang diterapkan sejak awal lagi mendorong kepada kejayaan seseorang usahawan. Asuhan awal sebagai seorang usahawan daripada keluarga dapat memberi minat yang mendalam kepada seseorang individu di dalam bidang perniagaan. Ini dapat membina ketahanan mental yang kuat bagi memastikan pertumbuhan perniagaannya. Daya ketahanan juga merupakan faktor yang mendorong kepada kejayaan usahawan di dalam perniagaan. Ianya melibatkan penerapan nilai-nilai murni dan etika seseorang usahawan dalam melaksanakan perniagaan. Antaranya ialah sikap bersabar, jujur dan amanah (Timmons dan Spinelli, 2000; Kuratko dan Hodgetts, 2001; Rosdi, 2002).

Imej diri merupakan penampilan yang akan dipaparkan oleh seseorang usahawan yang bertujuan untuk menyakinkan individu lain akan keupayaannya dalam perniagaan. Ini melibatkan bagaimana seseorang usahawan itu berkomunikasi dan mengendalikan sesuatu situasi yang melibatkan pembuatan keputusan yang kritikal. 

Bersikap terbuka dan berani untuk menerima teguran juga adalah faktor yang mampu mendorong kepada kejayaan seseorang usahawan. Daripadanya, usahawan tersebut dapat memperbaiki dan mempertingkat potensi diri serta perniagaannya (Rosdi, 2002). 

Sikap untuk mempelajari sesuatu yang baru dan tidak mudah berpuas hati dengan kejayaan juga merupakan faktor yang mendorong kepada kejayaan seseorang usahawan. Ini membolehkan seseorang usahawan itu membuat ramalan jangka panjang mengenai amalan, peluang dan ancaman yang wujud di dalam organisasi dan perniagaannya. Rumusannya, faktor utama yang mendorong kejayaan usahawan bumiputera ialah berilmu, mendengar pendapat, kecenderungan terhadap perubahan dan ketahanan mampu untuk memastikan seseorang usahawan itu bertahan lama di dalam perniagaannya (Hisrich et al., 2000; Timmons dan Spinelli, 2000; Rosdi, 2002). 

Menurut Khaairuddin (1996), terdapat beberapa budaya hidup yang perlu dimiliki oleh setiap diri usahawan untuk menentukan kejayaan dalam perniagaan yang diceburinya. Asas budaya hidup ini perlu diamalkan tidak mengira jenis dan saiz perniagaan tersebut. Antaranya ialah rajin dan mempunyai daya inisiatif, yakin terhadap keupayaan diri, bersikap positif, bersemangat tinggi dan bertenaga, bijak mengambil peluang dalam perniagaan dan cekal iaitu tabah serta berani menghadapi apa jua cabaran. Seterusnya usahawan juga perlu bijak mengambil risiko,mengamalkan nilai-nilai kehidupan yang mulia, cekap dalam mencari maklumat, prihatin terhadap mutu kerja yang berkualiti dan berkomitmen terhadap 
tugas yang diamanahkan. 

Ciri yang paling penting perlu ada dalam diri setiap usahawan ialah sanggup menghadapi risiko dalam perniagaan (Harper, 1996; Khaairuddin, 1996; Lambing, 2000: Nadzri, 2000; Hisrich et al., 2000; Timmons dan Spinelli, 2000; Md Mohar et al., 2000; Rosdi, 2002; Usahawan Sukses, 2002). 

0 komentar:

Poskan Komentar

 

Kumpulan Artikel News Copyright © 2011-2012 | Powered by Blogger